Perterjemahan
merupakan perpindahan mesej daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain.
Tujuan penterjemahan adalah untuk menghasilkan satu karya terjemahan (teks
sasaran) yang membawa makna yang sama dengan sesuatu karya bahasa asing (teks
sumber). Kegiatan menterjemah mula dilakukan di alam Melayu seawal bangsa asing
datang ke sini. Sebelum bangsa Arab dan Parsi datang ke alam Melayu, sama ada
untuk menyebarkan agama Islam ataupun untuk berdagang, bangsa Melayu telah
bercampur dengan bangsa India dan terpengaruh dengan budaya Hindu. Percampuran
Melayu dengan tiga budaya asing ini telah memberi ruang kepada terjemahan untuk
berkembang. Mereka memerlukan penterjemahan untuk bergaul dan berhubung sesama
mereka. Terjemahan juga digunakan untuk memindahkan ilmu, kepercayaan, adat
resam, sistem ekonomi dan sistem politik.
Orang Melayu
menerima budaya asing mengikut cara mereka yang tersendiri. Budaya tersebut
diolah dan diadun melalui tiga cara iaitu menterjemahkan budaya itu ke dalam
bahasa Melayu, menyadurnya ataupun dengan mencipta budaya baru iaitu budaya
mereka tersendiri. Budaya boleh dilihat dan dirasa menerusi pergaulan langsung
dengan bangsa tersebut atau melalui pembacaan bahan – bahan yang ditulis dalam
bahasa mereka. Masalah lain akan timbul apabial bahasa asing tersebut tidak
dapat dibaca dan difahami oleh orang Melayu. Maklumat yang terkandung dalam
bahan bacaan tersebut dapat diketahui dengan cara menterjemahkan teks tersebut
ke bahasa Melayu.
Penterjemahan
penting kerana masyarakat di dalam dunia yang moden ini memerlukan penterjemah
untuk menterjemahkan hasil karya ahli sains asing , penulis, seniman, penyair,
cendekiawan dan sebagainya. Kerja penterjemahan tidak harus dipandang ringan
kerana untuk memastikan masyarakat dan negara yang berdaya saing dan berdaya
maju terutamanya dalam bidang sains, teknologi, linguistik dan kesusasteraan.
Bidang penterjemahan haruslah menjadi salah satu misi nasional dalam
membangunkan bangsa dan negara Malaysia khususnya.
Penterjemahan merupakan aktiviti yang penting
dalam merangsang pembagunan bidang perindustrian, sains, teknologi, komunikasi
dan hubungan antarabangsa. Penterjemahan diperlukan untuk memahami orang lain
sekali gus membolehkan kita difahami oleh orang lain.Kebanyakan syarikat,
firma, bank, industri, kilang, persatuan, organisasi, universiti dan sebagainya
memerlukan penterjemah bagi memenuhi transaksi mereka. Misalnya apabila mereka
berurusan dengan orang asing yang memiliki latar budaya dan bahasa yang
berbeza. Tiada masyarakat mahupun negara yang mampu membangun dalam bidang
sains, teknologi dan keintelektualan tanpa penterjemahan. Oleh itu, bidang
penterjemahan merupakan biadang yang penting di Malaysia.
Kepentingan
bidang penterjemahan dilihat penting dalam dunia pendidikan. Contohnya dalam
aspek pemerolehan bahasa, penterjemahan akan membolehkan pelajar mempelajari
kosa kata baharu, mengetahui penggunaan kata dan makna pelbagai jenis
perkataan. Penterjemahan juga dapat meningkatkan pengetahuan pelajar tentang
bahasa asing, seterusnya dapat memahami sturukturnya. Dengan mempelajari ilmu
penterjemahan, pelajar akan lebih sedar akan kehalusan bahasa ibunda mereka dan
melihat kepentingan pemilihan kata dalam penterjemahan sekali gus dapat menguji
kefahamanan mereka dalam pembacaan.
Selain itu, penterjemahan
juga dapat menambahkan bilangan pembaca. Buku yang mengandungi pelbagai ilmu
kebanyakan ditulis dalam bahasa Inggeris yang menjadikan bahasa itu sebagai
sumber ilmu yang domain. Usaha penterjemahan harus dilakukan untuk memastikan
segala ilmu yang ditulis dalam bahasa itu akan tersebar dengan lebih luas. Oleh
itu, pelbagai ilmu dapat dipindahkan melalui penterjemahan malah bilangan pembaca
akan lebih meluas. Tidak dinafikan bahawa kos penterjemahan buku baik dari segi
kos mahupun masa khususnya buku akademik dan ilmu adalah amat tinggi. Buku
akademik dan buku ilmiah dalam bahasa sumber terutama dalam bahsa Inggeris
lebih digemari sebagai sumber rujukan khususnya di institusi pengajian.
Kepentingan
penterjemahan dapat merapatkan jurang penguasaan ilmu pengetahuan dalam
kalangan masyarakat, terutamanya di negara yang sedang membangun dan di negara
bekas jajahan Inggeris. Seperti yang dinyatakan, kebanyakan ilmu seperti ilmu
dalam bidang sains, teknologi, ekonomi, falsafah ditulis dalam bahasa Inggeris. Hakikatnya,
majoriti besar masyarakat yang dijajah oleh Inggeris tidak menguasai bahasa
Inggeris. Maka, penterjemahan dapat membantu dalam usaha merapatkan jurang ilmu
pengetahuan. Dalam konteks masyarakat Malaysia yang bahasa Melayu lebih dominan
sebagai bahasa ilmu pengetahuan, bidang penterjemahan merupakan bidang yang
amat penting dalam merapatkan jurang ilmu pengetahuan tanpa membelakangkan
kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama sumber ilmu pengetahuan.
Bidang penterjemahan
dapat dijadikan industri di negara ini kerana banyak peluang perdagangan, perbankan, pelaburan, perniagaan
dan perindustrian dari serata dunia sudah mula bertapak di Malaysia. Bukanlah
menjadi sesuatu perkara yang luar biasa apabila firma dan syarikat asing
menterjemahkan dokumen dan laman sesawang mereka ke dalam bahasa ibunda bakal
pelanggan mereka. Misalnya, terjemahan brosur dalam pelbagai sector,
termasuklah dalam sektor perbankan digunakan secara meluas. Dalam sektor
perbankan, brosur digunakan oleh pihak bank untuk mengiklankan pelbagai jenis
akaun dan produk serta perkhidmatan yang disediakan.
Pertubuhan
Pendidkan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) yang objektifnya
ialah mewujudkan kedamaian dalam hati nurani manusia misalnya dalam
penterjemahan kesusasteraan. Sejak tahun 1948, UNESCO telah membina program
yang menyokong penterjemahan kesusasteraan dan kefalsafahan. Hasilnya, banyak
karya yang diterjemahkan di bawah kerjasama kebudayaan dan program pertukaran
secara bekerjasama dengan penerbit di serata dunia. Hingga kini, senarai karya
tersebut mengandungi lebih kurang 1400 judul dari lebih 80 buah negara yang
diterjemahkan daripada 100 bahasa yang berbeza. Program yang dilaksanakan oleh
UNESCO dapat memberikan imbalan dari segi jumlah cetak karya dari serata dunia
yang ditulis dalam bahasa yang berbeza dan budaya yang berbeza. Program ini
juga dapat memberikan pengiktirafan antarabangsa kepada penulis dan sekali gus memenangi anugerah berprestij
seperti Hadiah Nobel.
Penterjemahan
dapat memperkenalkan budaya, pemikiran dan ketinggian nilai hidup Melayu di
peringkat antarabangsa. Hal ini dapat dilihat melalui naskhah – naskhah dalam
tamadun Melayu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai dan Hikayat Merong
Mahawangsa telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa sebagai bukti bahawa
penterjemahan juga berlaku dan member kesan ke atas perkembangan tamadun
Melayu. Hal ini demikian kerana naskhah – naskhah tersebut menceritakan tentang
perkembangan tamadun Melayu dan membolehkan masyarakat lain mengetahui tentang
tamadun Melayu melalui penterjemahannya ke bahasa asing. Karya – karya sastera
yang diterjemahkan akan memudahkan bangsa lain mengenali dan memahami budaya
kita secara terperinci.
Kepentingan
bidang penterjemahan adalah sebagai usaha untuk berkomunikasi dengan bangsa lain
yang berbeza bahasa. Kepelbagaian bahasa pada masa yang sama akan mewujudkan
jurang komunikasi jika seseorang itu tidak memahami bahasa penuturnya. Hubungan
antara sumber maklumat (perucap,penutur) dengan penerima maklumat (pembaca,
pendengar) dalam sesuatu proses komunikasi tidak akan dapat terjalin tanpa
adanya terjemahan. Terjemahan tentunya akan menjadi jambatan antara sumber
dengan penerima. Seseorang itu tidak mungkin akan dapt menguasai kesemua bahasa
yang ada di dunia. Sebagai langkah praktis, penterjemah dipilih untuk tujuan
penterjemahan. Bidang penterjemahan mempunyai pelbagai fungsi. Melalui
penterjemahan, bahasa yang digunakan oleh perucap dapat difahami dengan jelas
tanpa perlu mengetahui bahasa asalnya. Dalam konteks ini, penterjemah bertindak
sebagai jambatan komunikasi bagi menghubungkan dua pihak yang sebenarnya tidak
dapat berkomunikasi.
Kepentingan
bidang penterjemahan yang seterusnya ialah untuk memperkenalkan sastera
kebangsaan kepada khalayak
seperti penggemar sastera, sarjana, pengkaji, pembaca serantau dan antarabangsa
selain menarik minat mereka untuk mengkaji dan menghayati persuratan Melayu,
khususnya sastera kebangsaan. Projek ini juga dilihat untuk mempromosikan
sastera Malaysia ke peringkat antarabangsa terutamanya melalui pameran buku
antarabangsa. Usaha ini diharapkan dapat menyerlahkan kesungguhan dan
kecemerlangan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang bertamadun. Bagi
memantapkan projek ini, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah
menyasarkan Sasterawan Negara, sekurang – kurangnya empat karya mereka
diterjemahkan ke pelbagai bahasa. Dengan peruntukan daripada kerajaan yang
disalurkan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia, ITBM telah melaksanakan
penterjemahan sebanyak 100 judul karya sastera Malaysia ke pelbagai bahasa
anatarabangsa sehingga penghujung tahun 2010. ITBM percaya usaha ini merupakan
titik mula perjuangan untuk mengangkat sastera Malaysia untuk menembusi pasaran
buku dunia.
Kesimpulannya,
bidang penterjemahan perlu dilihat sebagai salah satu komponen yang penting
dalam proses pembangunan negara bangsa. Usaha yang bersungguh – sungguh perlu
dilakukan dalam memperkasakan bidang penterjemahan untuk memanfaatkan segala
ilmu yang ada dengan menggunakan bahasa ibunda tanpa bersusah payah memahami
dalam bahasa asing. Hal ini demikian kerana melalui penterjemahan maka hasrat
untuk melahirkan sebuah negara yang beracuankan sendiri, iaitu Tamadun Malaysia
akan mejadi kenyataan. Bidang penterjemahan seharusnya dilaksanakan secara
bersepadu. Hal ini demikian kerana penterjemahan mampu mempromosikan negara Malaysia
ke luar negara sekali gus membolehkan masyarakat antarabangsa lebih memahami
bangsa dan negara Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan