Selasa, 31 Mei 2016

Kepentingan Penterjemahan



Perterjemahan merupakan perpindahan mesej daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain. Tujuan penterjemahan adalah untuk menghasilkan satu karya terjemahan (teks sasaran) yang membawa makna yang sama dengan sesuatu karya bahasa asing (teks sumber). Kegiatan menterjemah mula dilakukan di alam Melayu seawal bangsa asing datang ke sini. Sebelum bangsa Arab dan Parsi datang ke alam Melayu, sama ada untuk menyebarkan agama Islam ataupun untuk berdagang, bangsa Melayu telah bercampur dengan bangsa India dan terpengaruh dengan budaya Hindu. Percampuran Melayu dengan tiga budaya asing ini telah memberi ruang kepada terjemahan untuk berkembang. Mereka memerlukan penterjemahan untuk bergaul dan berhubung sesama mereka. Terjemahan juga digunakan untuk memindahkan ilmu, kepercayaan, adat resam, sistem ekonomi dan sistem politik.
Orang Melayu menerima budaya asing mengikut cara mereka yang tersendiri. Budaya tersebut diolah dan diadun melalui tiga cara iaitu menterjemahkan budaya itu ke dalam bahasa Melayu, menyadurnya ataupun dengan mencipta budaya baru iaitu budaya mereka tersendiri. Budaya boleh dilihat dan dirasa menerusi pergaulan langsung dengan bangsa tersebut atau melalui pembacaan bahan – bahan yang ditulis dalam bahasa mereka. Masalah lain akan timbul apabial bahasa asing tersebut tidak dapat dibaca dan difahami oleh orang Melayu. Maklumat yang terkandung dalam bahan bacaan tersebut dapat diketahui dengan cara menterjemahkan teks tersebut ke bahasa Melayu.
Penterjemahan penting kerana masyarakat di dalam dunia yang moden ini memerlukan penterjemah untuk menterjemahkan hasil karya ahli sains asing , penulis, seniman, penyair, cendekiawan dan sebagainya. Kerja penterjemahan tidak harus dipandang ringan kerana untuk memastikan masyarakat dan negara yang berdaya saing dan berdaya maju terutamanya dalam bidang sains, teknologi, linguistik dan kesusasteraan. Bidang penterjemahan haruslah menjadi salah satu misi nasional dalam membangunkan bangsa dan negara Malaysia khususnya.
  
 Penterjemahan merupakan aktiviti yang penting dalam merangsang pembagunan bidang perindustrian, sains, teknologi, komunikasi dan hubungan antarabangsa. Penterjemahan diperlukan untuk memahami orang lain sekali gus membolehkan kita difahami oleh orang lain.Kebanyakan syarikat, firma, bank, industri, kilang, persatuan, organisasi, universiti dan sebagainya memerlukan penterjemah bagi memenuhi transaksi mereka. Misalnya apabila mereka berurusan dengan orang asing yang memiliki latar budaya dan bahasa yang berbeza. Tiada masyarakat mahupun negara yang mampu membangun dalam bidang sains, teknologi dan keintelektualan tanpa penterjemahan. Oleh itu, bidang penterjemahan merupakan biadang yang penting di Malaysia.
Kepentingan bidang penterjemahan dilihat penting dalam dunia pendidikan. Contohnya dalam aspek pemerolehan bahasa, penterjemahan akan membolehkan pelajar mempelajari kosa kata baharu, mengetahui penggunaan kata dan makna pelbagai jenis perkataan. Penterjemahan juga dapat meningkatkan pengetahuan pelajar tentang bahasa asing, seterusnya dapat memahami sturukturnya. Dengan mempelajari ilmu penterjemahan, pelajar akan lebih sedar akan kehalusan bahasa ibunda mereka dan melihat kepentingan pemilihan kata dalam penterjemahan sekali gus dapat menguji kefahamanan mereka dalam pembacaan.
Selain itu, penterjemahan juga dapat menambahkan bilangan pembaca. Buku yang mengandungi pelbagai ilmu kebanyakan ditulis dalam bahasa Inggeris yang menjadikan bahasa itu sebagai sumber ilmu yang domain. Usaha penterjemahan harus dilakukan untuk memastikan segala ilmu yang ditulis dalam bahasa itu akan tersebar dengan lebih luas. Oleh itu, pelbagai ilmu dapat dipindahkan melalui penterjemahan malah bilangan pembaca akan lebih meluas. Tidak dinafikan bahawa kos penterjemahan buku baik dari segi kos mahupun masa khususnya buku akademik dan ilmu adalah amat tinggi. Buku akademik dan buku ilmiah dalam bahasa sumber terutama dalam bahsa Inggeris lebih digemari sebagai sumber rujukan khususnya di institusi pengajian.
Kepentingan penterjemahan dapat merapatkan jurang penguasaan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat, terutamanya di negara yang sedang membangun dan di negara bekas jajahan Inggeris. Seperti yang dinyatakan, kebanyakan ilmu seperti ilmu dalam bidang sains, teknologi, ekonomi, falsafah  ditulis dalam bahasa Inggeris. Hakikatnya, majoriti besar masyarakat yang dijajah oleh Inggeris tidak menguasai bahasa Inggeris. Maka, penterjemahan dapat membantu dalam usaha merapatkan jurang ilmu pengetahuan. Dalam konteks masyarakat Malaysia yang bahasa Melayu lebih dominan sebagai bahasa ilmu pengetahuan, bidang penterjemahan merupakan bidang yang amat penting dalam merapatkan jurang ilmu pengetahuan tanpa membelakangkan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama sumber ilmu pengetahuan.
Bidang penterjemahan dapat dijadikan industri di negara ini kerana banyak peluang  perdagangan, perbankan, pelaburan, perniagaan dan perindustrian dari serata dunia sudah mula bertapak di Malaysia. Bukanlah menjadi sesuatu perkara yang luar biasa apabila firma dan syarikat asing menterjemahkan dokumen dan laman sesawang mereka ke dalam bahasa ibunda bakal pelanggan mereka. Misalnya, terjemahan brosur dalam pelbagai sector, termasuklah dalam sektor perbankan digunakan secara meluas. Dalam sektor perbankan, brosur digunakan oleh pihak bank untuk mengiklankan pelbagai jenis akaun dan produk serta perkhidmatan yang disediakan.
Pertubuhan Pendidkan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) yang objektifnya ialah mewujudkan kedamaian dalam hati nurani manusia misalnya dalam penterjemahan kesusasteraan. Sejak tahun 1948, UNESCO telah membina program yang menyokong penterjemahan kesusasteraan dan kefalsafahan. Hasilnya, banyak karya yang diterjemahkan di bawah kerjasama kebudayaan dan program pertukaran secara bekerjasama dengan penerbit di serata dunia. Hingga kini, senarai karya tersebut mengandungi lebih kurang 1400 judul dari lebih 80 buah negara yang diterjemahkan daripada 100 bahasa yang berbeza. Program yang dilaksanakan oleh UNESCO dapat memberikan imbalan dari segi jumlah cetak karya dari serata dunia yang ditulis dalam bahasa yang berbeza dan budaya yang berbeza. Program ini juga dapat memberikan pengiktirafan antarabangsa kepada penulis  dan sekali gus memenangi anugerah berprestij seperti Hadiah Nobel.
Penterjemahan dapat memperkenalkan budaya, pemikiran dan ketinggian nilai hidup Melayu di peringkat antarabangsa. Hal ini dapat dilihat melalui naskhah – naskhah dalam tamadun Melayu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai dan Hikayat Merong Mahawangsa telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa sebagai bukti bahawa penterjemahan juga berlaku dan member kesan ke atas perkembangan tamadun Melayu. Hal ini demikian kerana naskhah – naskhah tersebut menceritakan tentang perkembangan tamadun Melayu dan membolehkan masyarakat lain mengetahui tentang tamadun Melayu melalui penterjemahannya ke bahasa asing. Karya – karya sastera yang diterjemahkan akan memudahkan bangsa lain mengenali dan memahami budaya kita secara terperinci.
Kepentingan bidang penterjemahan adalah sebagai usaha untuk berkomunikasi dengan bangsa lain yang berbeza bahasa. Kepelbagaian bahasa pada masa yang sama akan mewujudkan jurang komunikasi jika seseorang itu tidak memahami bahasa penuturnya. Hubungan antara sumber maklumat (perucap,penutur) dengan penerima maklumat (pembaca, pendengar) dalam sesuatu proses komunikasi tidak akan dapat terjalin tanpa adanya terjemahan. Terjemahan tentunya akan menjadi jambatan antara sumber dengan penerima. Seseorang itu tidak mungkin akan dapt menguasai kesemua bahasa yang ada di dunia. Sebagai langkah praktis, penterjemah dipilih untuk tujuan penterjemahan. Bidang penterjemahan mempunyai pelbagai fungsi. Melalui penterjemahan, bahasa yang digunakan oleh perucap dapat difahami dengan jelas tanpa perlu mengetahui bahasa asalnya. Dalam konteks ini, penterjemah bertindak sebagai jambatan komunikasi bagi menghubungkan dua pihak yang sebenarnya tidak dapat berkomunikasi.
Kepentingan bidang penterjemahan yang seterusnya ialah untuk memperkenalkan  sastera  kebangsaan  kepada khalayak seperti penggemar sastera, sarjana, pengkaji, pembaca serantau dan antarabangsa selain menarik minat mereka untuk mengkaji dan menghayati persuratan Melayu, khususnya sastera kebangsaan. Projek ini juga dilihat untuk mempromosikan sastera Malaysia ke peringkat antarabangsa terutamanya melalui pameran buku antarabangsa. Usaha ini diharapkan dapat menyerlahkan kesungguhan dan kecemerlangan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang bertamadun. Bagi memantapkan projek ini, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah menyasarkan Sasterawan Negara, sekurang – kurangnya empat karya mereka diterjemahkan ke pelbagai bahasa. Dengan peruntukan daripada kerajaan yang disalurkan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia, ITBM telah melaksanakan penterjemahan sebanyak 100 judul karya sastera Malaysia ke pelbagai bahasa anatarabangsa sehingga penghujung tahun 2010. ITBM percaya usaha ini merupakan titik mula perjuangan untuk mengangkat sastera Malaysia untuk menembusi pasaran buku dunia.

            Kesimpulannya, bidang penterjemahan perlu dilihat sebagai salah satu komponen yang penting dalam proses pembangunan negara bangsa. Usaha yang bersungguh – sungguh perlu dilakukan dalam memperkasakan bidang penterjemahan untuk memanfaatkan segala ilmu yang ada dengan menggunakan bahasa ibunda tanpa bersusah payah memahami dalam bahasa asing. Hal ini demikian kerana melalui penterjemahan maka hasrat untuk melahirkan sebuah negara yang beracuankan sendiri, iaitu Tamadun Malaysia akan mejadi kenyataan. Bidang penterjemahan seharusnya dilaksanakan secara bersepadu. Hal ini demikian kerana penterjemahan mampu mempromosikan negara Malaysia ke luar negara sekali gus membolehkan masyarakat antarabangsa lebih memahami bangsa dan negara Malaysia.




Sejarah aktiviti terjemahan - zaman Umaiyyah





Telah diketahui dalam sejarah, kejayaan dan tamadun Eropah selepas abad pertengahan adalah bersumberkan tamadun Islam yang telah maju lebih dahulu daripada mereka. Bagaimanakah ini terjadi? Selain faktor penghijrahan orang Islam dan Mozarab ke Eropah, dan hubungan diplomatik dan perdagangan, faktor yang paling penting ialah giatnya aktiviti penerjemahan buku-buku Islam ke bahasa-bahasa Eropah terutama bahasa Latin.
Semasa kerajaan Islam bertapak di Andalus, para Amir dan Khalifah juga menggalakkan kegiatan penterjemahan untuk digunakan dalam negara. Sokongan kewangan diberikan kepada usaha-usaha menerjemah buku-buku dari bahasa Latin, Greek dan lain-lain ke bahasa Arab.1
Setelah kawasan-kawasan Islam di Andalus ditawan oleh Kristian mereka pula menerjemahkan karya-karya terutama karya asli orang Arab ke bahasa Latin raja-raja mereka menggalakkan supaya membuat pengajian dan penelitian terhadap karya-karya Islam yang berjaya mereka rampas. Mereka juga turut mengasaskan sekolah dan universiti khusus untuk menerjemahkan karya-karya Arab ke bahasa Latin dan juga menyediakan pendidikan Arab Latin kepada masyarakat Kristian, Sekolah Arab-Latin di Toledo dan Seville telah memainkan peranan penting dalam pengaliran tamadun ilmu pengetahuan Islam ke Eropah.
Toledo yang ditawan oleh Alfonso VI dari Castile pada tahun 477 H/1085 M telah dijadikan sebagai pusat penerjemahan hasil karya ;Islam ke bahasa-bahasa Eropah. Pada umumnya orang Yahudi di Toledo fasih berbahasa Arab dan juga Latin atau Roman. Golongan inilah yang banyak berperanan menerjemahkan buku-buku Arab ke bahasa Latin. Di samping itu Salomon ben Gabriel dan Moses ben Maimon merupakan sarjana dan ahli falsafah mereka yang terkenal.2
Orang Kristian di Andalus sendiri telah menyedari kelebihan orang Islam. Raja Kristian, Alfonso the Great dan Alfonso the Wise telah banyak membuat sumbangan terhadap perkembangan intelektual antara orang Kristian dengan Islam, Alfonso VII pula telah menubuhkan sebuah institusi penerjemahan di Toledo pada tahun 523 H/1130 M. Institusi ini telah mengikut contoh Bayt al-Hikrnah yang dibina di Baghdad beberapa ratus tahun sebelumnya oleh orang Islam. Hasil usaha ahli penerjemah di pusat ini telah membolehkan bahasa Latin dalam bidang astronomi, matematik, falsafah, kedoktoran, kimia dan botani sehinggalah kurun ke 7 H/13 M.3
Antara para sarjana Kristian yang berrninat dalam proses pemindahan ilmu ini ialah Dominicus Gondisalvi, Hugh dari Satella, Petrus Alfose, John Seville, Savasonda dan Abrahan Ezra. Mereka telah menjejaki dan menerjemahkan karya para sarjana Islam di Barcelona, Tarragona, Segovia, Leon, Pamplona dan di kawasan selatan Perancis seperti Tolouse, Baziers, Harbone serta Marseiles. Tetapi pusat yang terpenting sekali masih lagi di Toledo. Mereka telah mendapat sokongan, galakan dan bantuan dari golongan intelektual agama khususnya Reymond Archbishop di Toledo dan Micheal Scot, bishop di Tarragona.4
Pada pertengahan kedua kurun ke 6 H/12 M, penemuan karya terjemahan daripada bahasa Arab ke Latin yang paling banyak sekali diusahakan oleh Gerard dari Carmona m. ke 5 H/11 M). Beliau telah menerjemahkan lebih 70 buah buku Arab ke bahasa Latin. Buku-buku ini meliputi bidang ilmu seperti matematik, astronomi, geografi, perubatan dan lain-lain. Boleh dikatakan lebih banyak ilmu sarnpai ke Eropah melalui usaha Gerard dari yang lain. Antara buku yang beliau terjemahkan ialah Almagest versi Arab karangan Ptolemy yang merupakan karya penting mengenai atronorni. Beliau juga menerjemahkan Kitab al-Qanun fi al- Tib karya Ibn Sina, Appolonius mengenai optalmologi, karya-karya perubatan Gallen dan Hippocrates, Kitab al-Tasrifkarangan al-Zahrawi dan lain-lain. Semua kitab yang diterjemahkan ini berasal daripada teks Arab.5
Perlu diingatkan bahawa Eropah tidak boleh memahami falsafah Yunani kecuali menerusi ilmu pengetahuan Islam, ini kerana kitab-kitab falsafah seperti karangan Plato dan Aristotle yang berbahasa Latin tidak pernah diterjemahkan terus ke bahasa Eropah yang lain melainkan orang Eropah mengambilnya dari terjemahan orang Arab yang telah ditambah oleh penulisan-penulisan ulama Islam.6 Sebagai contoh Michael Scot dari Scotland (m. 650 H/1253 M) telah banyak membuat ulasan mengenai hasil-hasil karya falsafah Aristotle yang dibuat oleh sarjana-sarjana Islam dan hasil-hasil karya Abu Ishaq al-Bitruji telah beliau terjemahkan ke bahasa Latin. Beliau juga menerjemah ulasan Ibn Rushd mengenai De Code et Munde karya Aristotle dan lain-lain lagi. Beliau juga dikatakan seorang daripada pengasas aliran falsafah Ibn Rushd di Barat.7
Montpellier dan diikuti oleh Paris, muncul sebagai pusat pengajian ilmu pengetahuan yang terkenal di Eropah. Bahasa Arab dijadikan mata pelajaran di beberapa buah universiti di Eropah seperti Toledo, Narbonne, Neples, Bologne dan Paris. Hasil-hasil karya sarjana agung Islam di pelbagai bidang telah diterjemahkan ke bahasa Latin dijadikan bahan teks utama sehingga abad ke-16 M. Abad berikut barulah pengaruh bahasa Raab berkurangan setelah sarjana-sarjana Barat seperti Copernicus, Vesalius, Micheal Servetus, Nocolaus Messa, Galileo Galilei dan lain-lain lagi membawa arah baru.8
Kesan tamadun dan kebudayaan Islam ke atas Barat telah banyak dibuktikan. Contohnya dalam abad ke-12 H/18 M, Jesuir Juan Andres dalam bukunya bertajuk Origin, Progress and Present State of World Literature mengenengahkan pelbagai elemen Arab-Islam yang terdapat dalam kesusasteraan Eropah.9 Dalam abad ke 19 M, Sarton seorang sarjana Barat telah mendedahkan sumbangan tamadun Barat. Demikian juga hasil-hasil karya Asin Palacias, Ribera, Gonzales Palencia, Farmer, Nykl dan lain-lain yang telah membincangkan pelbagai aspek pengaruh kebudayaan Arab-Islam ke atas Eropah.10
Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa Kristian Eropah banyak terhutang budi kepada umat Islam, khususnya sarjana-sarjana Islam Andalus dalam bidang perkembangan intelektual dan kebudayaan. Ini kerana Andalus menjadi pusat tumpuan mereka untuk mencari dan mendalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan.
KEBANGKITAN TAMADUN EROPAH
Setelah kejayaan Islam di Andalus bermula dari 93 H/711 M sehngga abad ke 6 H/11 M, Eropah mula belajar dari faktor-faktor kemajuan Islam untuk membuat sebarang modernisasi dalam negara mereka sendiri. Apabila kerajaan Islam mula mengalami zaman kemunduran dan kemerosotan, negara-negara Eropah mahu mengejar pelbagai kemajuan dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Setelah negara Islam jatuh mereka mengambil segala ilmu-ilmu Islam dan seterusnya memindahkan ke Eropah. Di bawah pemerintahan Bani Umayyah umat Islam telah membina institusi pengajian dan sistem pelajaran yang terbaik di seluruh dunia dan ramai penuntut Eropah mengunjungi universiti-universiti Islam di Andalus.11
Henry Grady Weaver dalam bukunya The Mainspring of Human Progresssemasa membincangkan tentang sumbangan umat Islam di Andalus (yang juga dikenali sebagai Saracen di Eropah) kepada kebangkitan Eropah di bawah tajuk ‘Contributions of the Saracens’ berkata:
“Buku-buku teks sekolah menekankan kepada sejarah Eropah silam dan moden tetapi tidak menegaskan sejarah semasa Eropah beku dalam zaman kegelapannya. Dunia sebenarnya sudah bersinar dengan suatu tamadun yang lebih hampir kepada apa yang terdapat di Amerika kini. Tiga puluh generasi manusia yang menaruh keyakinan kepada kebebasan individu telah mewujudkan tamadun itu dan berterusan selama 800 tahun.
Di padang pasir, gunung-gunung dan di lembah sungai yang subur dari Ganges ke Atlantik, orang ini meliputi semua bangsa, warna dan kelas yang dahulunya daripada pelbagai agama, budaya dan empayar kerajaan) yang terdahulu. Golongan ini terdiri daripada orang yang menganut agama Buddha, Kristian, Islam, Hindu, Yahudi dan berbangsa Mongol, Parsi, Medes, Arab, Yunani, Mesir, Phoenica, Mitti, Afrika dan ratusan keturunan bangsa lagi yang wujud sebelum permulaan sejarah bertulis.
Tidak ada satu nama yang wajar diberi kepada golongan ini, Penduduk Eropah yang bencikan mereka menamakan mereka sebagai Saracen. Rekod-rekod mengenai Saracen yang dibenci ini banyak diputarbelitkan mereka mempunyai tamadun selama 800 tahun, institusi-institusi, kaedah-kaedah, cara hidup mereka semuanya terpendam dalam bahasa perhubungan mereka iaitu Arab. Oleh kerana sejarawan-sejarawan Amerika berfikiran sama seperti orang Eropah, kita hanya mengetahui sedikit sahaja mengenai dunia Saracen yang dilihat melalui fahaman Eropah yang salah dan kebencian yang bermula dari zaman Peperangan Salib. Disebabkan pandangan prejudis yang mendalam ini maka untuk memberi keadilan adalah wajar diubah gambaran ini dengan mengutarakannya melalui perspektif Saracen. Dunia kini sangat terhutang kepada Saracen dalam bidang sains, matematik, astronomi, ilmu pelayaran, perubatan moden, pembedahan, pertanian saintifik dan pengaruhnya yang menuju kepada penemuan dan penjelajahan Amerika. Dalam dunia Saracen, tidak ada kuasa yang menekan saintis-saintis, tidak ada polis mengacau mereka dan tidak ada kerajaan yang menjaga mereka. Sekolah-sekolah yang dibuka dari Baghdad ke Granada banyak dikunjungi oleh penuntut-penuntut. Ada di antara sekolah-sekolah tersebut menjadi universiti-universiti yang terkenal, dan selama ratusan tahun mereka terus berkembang. Organisasi formal tidak wujud bagi universiti-universiti Saracen. Muhammad berpendapat bahawa terlampau banyak organisasi akan membawa kepada rasuah. Peraturan-peraturannya sedikit. Tidak ada program yang standard, tidak ada kurikulum biasa, tidak ada peperiksaaan. Untuk menghindarkan idea bahawa pendidikan akhir dengan penganugerahan ijazah, sekolah-sekolah Saracen tidak memberi diploma atau ijazah. Ia bukannya institusi untuk mengajar tetapi belajar. Penuntut-penuntut belajar untuk mendapat ilmu seperti mana penduduk Amerika pergi ke kedai runcit untuk membeli makanan. Kelas-kelas diadakan secara terbuka. Sesiapa yang mahu mencari ilmu boleh duduk dan mendengar. Jika dia memilih untuk belajar dia akan memilih guru dan berbincang secara peribadi dengannya apa yang hendak dipelajari dan bayarannya dipersetujui. Jjka sekiranya selepas masuk kelas, murid berasa dia tidak dapat ilmu yang dicarinya, dia berhenti membayar guru itu dan pergi ke guru yang lain atau universiti yang lain. Apabila selesai pelajaran yang diperlukan, dia berhenti sekolah dan menguji ilmu barunya secara praktikal.
Selama 800 tahun, sekolah-sekolah Saracen dan universiti-unversitinya berjalan atas prinsip kebebasan, berdasarkan perjanjian sukarela antara guru dan murid. Mereka menawarkan semua ilmu pengetahuan yang lalu dengan penekanan khas kepada ilmu sains. Satu daripada keistimewaan sifat-sifat Saracen ialah kebolehan mereka untuk memanfaatkan pengalaman orang lain. Mereka mengkaji karya-karya Aristotle, Galen dan Euclid. Mereka menumpukan perhatian kepada penemuan-penemuan silam dan teknik Yunani, China, Romawi dan selalu berusaha mencari cara untuk memperbaikinya. Umpamanya mengenai angka-angka bilangan. Angka-angka yang anda dapat dalam mesin kira atau angka-angka di barisan atasan kunci-kunci mesin taip atau di muka surat buku dikenali sebagai angka Arab. Sungguhpun disampaikan kepada kita oleh Arab Saracen yang sebenarnya angka-angka kita ini berasal dari bahasa Hindu. Bangsa Yunani dan Roman telah melihat simbol-simbol Hindu di India tetapi masih terus bergantung kepada angka-angka Romawi yang sukar untuk perkiraan campur, tolak, dan darab dengan menggunakan bola-bola kecil di atas wayar seperti yang masih dilakukan oleh orang China sedangkan orang Saracen telah mengambil angka Hindu yang mudah tetapi kemudiannya membuat perubahan yang membina. Jelas, apabila manusia diberi kebebasan mereka akan mencari cara-cara bagi memudahkan kerja.
Sumbangan Saracen yang tidak ;kurang nilainya kepada tamadun moden kita ialah daya pemikiran yang bebas. Mereka yang pada pertama sekali memahami konsep matematik bahawa tidak adanya bilangan-kosong adalah dengan sendirinya satu nombor. Mereka mencipta sifar yang jika ia tidak ada maka sukar bagi sains untuk mewujudkan tamadun moden kini sepertimana yang kita ketahui hari ini.”12
Maka jelaslah dari petikan di atas bagaimana sumbangan tamadun Islam di Andalus terhadap tamadun intelektual terutamanya di Eropah. Maka bermula dari abad ke-15 M terutama selepas Peperangan Salib timbul zaman Renaisance di Eropah untuk lari dari zaman kegelapannya ke zaman modennya. Perubahan dari zaman kegelapan telah mengambil masa yang panjang. Sungguhpun demikian Renaisance telah memberi lebih peluang kebebasan individu dari segi agama, penulisan, kebudayaan serta kesedaran dan pencapaian yang cemerlang dalam sastera dan sains. Seterusnya jadilah negara-negara Eropah pada abad-abad berikutnya sepertimana yang kita lihat hari ini.
Kini, negara-negara Eropah dianggap lebih maju daripada negara-negara Islam. Maka adakah pada masa ini adalah relevan untuk para intelek negara Islam untuk menrjemahkan karya-karya Eropah ke bahasa umat Islam, atau mempelajari bahasa itu sahaja sudah cukup untuk kita memahami ilmu yang disampaikan oleh mereka. Telah ada usaha-usaha penerjemahan dilakukan tetapi tidaklah segiat usaha penerjemahan orang Eropah dahulu.

Sejarah aktiviti terjemahan - zaman Abbasiyah




 Gerakan terjemahan sebagai gerakan intelektual merupakan wahana untuk mendalami sesuatu ilmu secara halusi dan menyeluruh.. Ianya mempunyai kaitan yang amat rapat dengan sirah Rasulullah saw. Bermulanya gerakan terjemahan sama sekali tidak boleh dipisahkan dengan gerakan ilmu. Tanpa ilmu pengetahuan bagaimana sesuatu gerakan terjemahan dapat dihasilkan.
Pada era kerajaan Abbasiyah terjemehan banyak member sumbanganyya terhadap perkembangan ilmu sains. Zaman kegemilangan Abbasiyah banyak dipengaruhi oleh kelahiran ramainya ahli-ahli falsafah dan sains yang banyak menyumbang kepada teknologi dan pembangunan. Pencapaian-pencapaian intelektual dan saintifik berkembang pesat pada masa itu.
Banyak faktor yang telah menyumbang kearah kemajuan yang dicapai dan antaranya ialah kegiatan terjemahan yang berjalan pada masa tersebut. Banyak kitab-kitab ilmu pengetahuan yang diterjemahkan oleh cendikiawan yang kemudiannya isi kandungannya membantu para saintis meningkatkan lagi penyelidikan mereka disamping menambah ilmu pengetahun.
zaman pemerintahan Abbasiyah merupakan puncak sejarah zaman kegemilangan Islam. Di zaman ini umat Islam mula berhubungan dengan kebudayaan-kebudayaan asing seperti parsi,Hindu dan Greek dan telah  menterjemahkan karya penyelidikan terpenting kedalam bahasa Arab.
Walaupun banyak sumber-sumber asli yang diterjemahkan itu telah hilang dan yang tinggal hanya terjemahan bahasa arab, namun ia terus terpelihara sebagai ilmu yang sangat tinggi nilainya.d disamping mentermah, penyelidik Islam juga telah mengkritik dan mencipta sesuatu yang baru dari hasil terjemahan tersebut.

KEGIATAN TERJEMAHAN DAN PERKEMBANGAN SAINS
Perkembangan pelbagai disiplin ilmu, khusus ilmu sains dalam tamadun Islam disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor utama perkembangan tradisi keilmuan Islam adalah dirangsang oleh al-Quran dan Hadis sendiri. Kenyataan ini dibuktikan melalui penulisan ulama-ulama terkenal Islam seperti al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulum al-Din dalam bab Kitab al-'Ilm atau The Book of Knowledge telah mengumpulkan sekian banyak ayat-ayat al-Qur'an, Hadis dan cerita-cerita yang merangsang pencarian ilmu, kedudukan dan kelebihan orang-orang yang mencari ilmu pengetahuan.
Berkembangnya tradisi ilmuan Islam adalah disebabkan oleh penterjemahan karya-karya terutamanya ilmu sains dan falsafah dari tamadun asing, khususnya dari Greek/Yunani. Justeru itu, kita dapat melihat khususnya pada zaman Abbasiah betapa giatnya ilmuwan Islam melakukan penterjemahan karya-karya dalam bidang sains dan falsafah, yang diambil dari Greek/Yunani.
Bagaimanpun, pada mulanya ilmu-ilmu dari Greek yang dibawa masuk ke Timur pada abad ke 4 Masihi bukanlah oleh orang-orang Arab Islam tetapi oleh orang-orang Arab Syria yang beragama Kristian. Melalui merekalah ilmu-ilmu falsafah dan sains Greek telah dipindahkan ke dunia Arab.
Orang-orang Syria, bukan sahaja bertindak sebagai penterjemah, tetapi juga telah menyuburkan ilmu-ilmu Greek lebih dari lima abad sebelum ianya dipindahkan kepada kumpulan kecil golongan sarjana Muslim pada abad Pertengahan Islam .Kerja-kerja penterjemahan karya-karya dari Greek oleh Syria berkemungkinan bermula pada abad ke 4 Masihi sehingga abad ke 8 Masihi . Terdapat lima saluran bagaimana ilmu-ilmu Greek yang disimpan oleh orang-orang Syria. dapat bertapak di dunia Arab, iaitu melalui:
1. Golongan Kristian Nestorian :
Menurut De Boer (1970), golongan Nestorian lebih berpengaruh di Parsi, manakala golongan Monophysite di Syria. Kedua-dua golongan ini mempunyai perbezaan pandangan dalam doktrin ketuhanan Kristian. Bagi Monophysite, tuhan dan manusia adalah bersatu dalam satu nature Christ (Jesus), manakala golongan Nestorian pula membezakan antara nature Ketuhanan dan nature kemanusiaan di dalam Jesus. Golongan ini merupakan guru terawal orang-orang Islam dan mereka merupakan "penghubung" yang amat penting di dalam bidang perubatan dan sains.
2. Golongan Kristian Jacobites atau Monophysites :
Mereka ini banyak memperkenalkan spekulatif neo-Platonis dan mistikisme (fahaman kesufian).
3.Golongan Zorostaria di Parsi dan khususnya aliran Junde-Shapur (golongan ini juga kuat dipengaruhi oleh elemen-elemen Nestorian).
4.Golongan Pagan Harran.
5.Segelintir orang-orang Yahudi. Golongan ini tidak membuat hubungan dengan tradisi falsafah Aristotle. Akademi mereka di Sora dan Pumbaditha lebih menjurus kepada undang-undang tradisi mereka sendiri dan tafsiran Bible.
Kerja-kerja penterjemahan karya-karya Greek melalui versi Syria secara giat ke dalam bahasa Arab dapat dilihat pada awal pemerintahan kerajaan Abbasiah .Bagaimanapun minat untuk mempelajari sains dan falsafah Greek dapat juga dilihat pada masa pemerintahan Khalid Ibn Yazid (mati 704 Masihi) dari Bani Ummaiyyah (661 - 749 Masihi). Khalid ibn Yazid diberitakan telah mempelajari Alkimia dari paderi Kristian. Beliau juga telah mengarahkan karya-karya Alkimia Greek diterjemahkan ke dalam bahasa Arab

PERINGKAT TERJEMAHAN DI ERA ABBASIAH
Kegiatan penterjemahan pada zaman Bani Abbasiah dapat dibahagikan  kepada dua peringkat. Peringkat pertama adalah dari zaman awal penubuhan Bani Abbasiah sehingga kepada perlantikan Khalifah al-Ma'mum (132 - 198 H). Kegiatan penterjemahan pada tahap ini kebanyakkannya dilakukan para penterjemah bebas dari agama Kristian, Yahudi dan penganut agama non-Islam.
Peringkat kedua pula ialah dari masa pemerintahan al-Ma'mum dan para penggantinya (al-Mu'tasim dan al-Mutawakkil). Kegiatan penterjemahan pada peringkat ini kebanyakkannya berpusat di Baghdad terutama di Bayt al-Hikma atau House of Wisdom yang diasaskan oleh Khalifah al-Ma'mum (833 Masihi) di sekitar tahun 830 Masihi .
 Pada peringkat pertama atau di sekitar abad ke 8 Masihi, kerja-kerja penterjemahan yang paling awal telah dilakukan oleh 'Abdullah ibn al-Muqaffa' yang berasal dari Far dan pada asalnya beliau menganut agama Zoroastaria sebelum beliau menganut agama Islam. Antara karya yang diketahui telah diterjemahkan oleh Ibn al-Muqaffa' ke dalam bahasa Arab ialah karya dari Parsi iaitu Kalila wa-Dimna. Pada masa beliau hidup, Bani Abbasiah telah diperintah oleh Khalifah al-Mansur (136 -158 H/754 - 775 M). Pada waktu tersebut, Khalifah al-Mansur telah memerintahkan Ibn Muqaffa' dan lain-lain penterjemah supaya menterjemahkan karya-karya mengenai sains tabii, perubatan dan logik yang berasal dari Pahlawi, Parsi dan Greek untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Arab .
Pada zaman al-Mansur terdapat juga penterjemah Arab seperti Ibrahim al-Fazari yang telah menterjemahkan karya astronomi dari India iaitu Siddhanta yang kemudiannya dikenali sebagai Sindhind. Penterjemahan ini telah membawa satu minat baru di dalam mempelajari bidang astronomi.
 Selepas itu muncul pula Muhammad Ibn Musa al-Khwarazmi (232 H/ 846 Masihi) yang menggabungkan sistem astronomi Greek dan India. Generasi berikutnya telah memperlihatkan munculnya beberapa ahli astronomi Arab yang terkenal seperti Abu Ma'shar (mati 272 H/ 885 Masihi) yang merupakan anak murid kepada al-Kindi dan Muhammad b. Jabir b.Sinan al-Battani (mati 317 H/ 929 Masihi) .
Khalifah al-Mansur juga turut memerintahkan beberapa karya Aristotle, Almegest karangan Claudilmus Ptolomeus dan buku-buku Euklides diterjemahkan. Menurut al-Mas'udi (ahli sejarah dan pengembara Islam, mati pada 345 H/956Masihi), sesudah terjemahan-terjemahan tersebut diterbitkan, orang-orang Islam telah mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh dan membina kembali cabang-cabang ilmu pengetahuan tersebut .

Peringkat kedua kegiatan penterjemahan ialah pada zaman al-Ma'mun dan para penggantinya, iaitu di antara abad ke 9 hingga ke 10 Masihi. Pada peringkat ini, kegiatan penterjemahan semakin bertambah pesat, terutama apabila Bait al-Hikmah telah didirikan oleh khalifah al-Ma'mum dan kemudiannya dipimpin oleh Yahya Ibn Masawayh (mati 243 H/857 Masihi).
Di bawah pimpinan Yahya Ibn Masawayh, Bait al-Hikmah menjadi pusat utama kegiatan penterjemahan. Kerja penterjemahan di pusat tersebut telah dilakukan oleh Ibn Masawayh sendiri dan anak-anak murid beliau seperti Abu Zayd Hunayn Ibn Ishaq al-Ibadi (meninggal pada 263 H/876 Masihi) seorang ahli kedoktoran Nestorian .
 Hunayn bersama-sama dengan anaknya iaitu Ishaq Ibn Hunayn dan anak saudaranya, iaitu Hubaysh Ibnal-Hassan telah berkerja bersama-sama dalam melakukan kerja penterjemahan. Hunayn telah menterjemahkan karya Eculid, Galen, Hippocrates, Archimedes, Apollonilmus dan karya Plato seperti Republic, Laws dan Timaeus serta karya-karya Aristotle ke dalam bahasa Arab. Anaknya, Ishaq telah menterjemahkan karya Sophist Plato, Metafizik, de anima, de generatione et de corruptione dan Hermeneutica karya Aristotle .
 Hunayn lebih terarah dalam menterjemahkan karya-karya perubatan, manakala anaknya Ishaq lebih menjurus ke arah penterjemahan karya-karya falsafah. Di samping mereka, terdapat penterjemah lain dari golongan Nestorian seperti Abu Bishr Matta b.Yunus (mati 328 H/939 Masihi) yang menterjemahkan Analytica Posterior dan Poetic Aristotle, ulasan Alexander of Aphrodisis terhadap buku de generatione et de corruptione dan ulasan Themistilmus terhadap buku 30 Metafizik Aristotle. Abu Bishr Matta juga adalah pengulas asal terhadap karya Aristotle Categories dan Isagoge oleh Porphyry. Penterjemah dari golongan Jacobites pula ialah Yahya b. Adi dan Abu 'Ali Isa b. Zaraah
Penterjemah lain yang aktif pada peringkat ini ialah seperti Thabit b. Qurrah (mati 901 Masihi), as-Sarakhsi (mati 899 Masihi), al-Farabi (mati 950 Masihi), al-Kindi (873 Masihi), Abu Sulaiman al-Mantiqi as-Sijistani (mati 985 Masihi), al-Amiri (mati 992 Masihi) (Franz Rosenthal, 1975: 6), Ibn al-Khammar dan lain-lain lagi ( De Boer, 1970: 18-19).
Apabila Khalifah al-Ma'mun melawat Harran pada tahun 823 Masihi, banyak manuskrip Greek dan Syria telah dibawa ke Baghdad. Khalifah al-Ma'mun telah mengamanahkan kepada Abu Yusuf al-Kindi (mati 873 Masihi) untuk menterjemahkan karya Aristotle .
 Secara keseluruhannya, gerakan penterjemahan yang pesat dilakukan pada zaman Abbasiah adalah lebih menjurus kepada subjek-subjek yang berkaitan dengan sains, perubatan dan falsafah. Tidak terdapat karya-karya yang berhubung dengan puisi Greek (kesenian), keagamaan, komedi dan karya sejarah Greek diterjemahkan ke dalam bahasa Arab .
Faktor yang mendorong orang-orang Islam tidak menterjemahkan karya-karya kesenian Greek ialah disebabkan orang-orang Islam mempunyai sikap selektif, di mana mereka dapat mengesan unsur-unsur Greek yang bertentangan dengan akidah Islam .
 Di samping itu, ajaran Islam itu sendiri telah meletakkan asas ilmu yang mencukupi kepada cendekiawan Muslim sebelum mereka menyerapi unsur-unsur asing ke dalam budaya ilmu Islam .
 Tambahan lagi, penerimaan dan pengkajian ilmu-ilmu warisan asing dilakukan hanya setelah penghuraian ilmu-ilmu tradisional Islam, al-Qur'an dan Hadis telahpun mantap. Manakala pembelajaran dan perkembangan bahasa Arab telah mencapai ke satu tahap yang tinggi dengan pembentukan kajian nahu bahasa Arab di Kufah dan Basrah. Pusat ini kemudiannya telah melahirkan ramai pakar nahu, penyair dan kritikan sastera .

PERKEMBANGAN SAINS DAN TEKNOLOGI ISLAM ERA ABBASIAH
Secara umumnya, perkembangan sains dan teknologi dalam tamadun Islam telah melewati beberapa tahap perkembangan:

Tahap pertama seperti yang telah dihuraikan di atas (penterjemahan karya-karya asing), adalah merujuk kepada tahap berlakunya proses penyerapan dan pemindahan ilmu-ilmu klasik (dari tamadun Yunani, Mesir, India dan lain-lain) terutama dalam bidang sains dan falsafah daripada bahasa-bahasa Yunani, Parsi dan Sanskrit ke bahasa Arab. Tahap pertama berlaku dari abad ke lapan Masihi hingga akhir abad kesembilan Masihi., iaitu kira-kira 150 tahun. Jangka masa ini ialah tempoh umat Islam menyesuaikan ilmu yang dipinjam dengan cara kreatif, iaitu dengan mengislamisasikan ilmu-ilmu tersebut bagi disesuaikan dengan pandangan hidup Islam.

Tahap kedua pula telah melahirkan idea-idea dan sumbangan-sumbangan mereka sendiri. Tahap ini berakhir pada penghujung abad ketiga belas Masihi. Menurut Sarton, tahap kecemerlangan tamadun Islam hanya wujud sehingga ke abad kesebelas Masihi (S. Waqar., 1986:10).

Tahap kemerosotan sains dan teknologi Islam mula berlaku pada akhir abad ke 15 Masihi. Abad-abad ke 12 dan 13 Masihi, iaitu ketika berlakunya Peperangan Salib serta serangan bertalu-talu orang-orang Monggol ke atas empayar Abbasiah menandakan permulaan zaman keruntuhan dan kehancuran sains, teknologi dan tamadun kebendaan orang Islam.
 Bagaimanapun. dalam dua abad ini berlaku pula proses peniruan dan penyerapan sains Islam yang intensif sekali di Barat. Proses ini berlaku melalui kegiatan penterjemahan secara teratur karya-karya orang Islam, diikuti dengan pembinaan universiti-universiti di Barat untuk menampung limpahan ilmu orang-orang Islam tadi. Puncak kemegahan sains dan pembelajaran ilmu-ilmu Islam di Barat tercapai di akhir abad ke 13 Masihi. Pada waktu yang sama, keagungan tamadun Islam mulai menurun dan pengaruh sains Islam ke atas dunia Barat berakhir pada abad ke 16 Masihi

RUMUSAN
                Secara ringkasnya, kegiatan terjemahan di era Abbasiah telah mempengaruhi perkembagan sains dan teknologi . Banyak hasil terjemah yang bukan sahaja diterjemah bahkan diberi kritikan dan penambahbaikan yang banyak.
                Kegiatan terjemahan ini juga telah memudahkan masyarakat Islam untuk memahami dan mengkaji perkembangan ilmu sains dan teknologi tamadun masyarakat lain yang telah berkembang maju.
                Polisi kerajaan pada era Abbasiah juga telah memudahkan para pengkaji dan penterjemah dalam melaksanakan tugasan mereka menjadi faktor berkembangnya teknologi sains dengan bantuan kegiatan terjemahan.